Wednesday, November 4, 2015

LANGKAH PENCEGAHAN DAN KAWALAN KESIHATAN SEMASA JEREBU

Apa itu jerebu ?

            Jebebu merupakan satu fenomena yang terjadi disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil seperti habuk, asap, dan zarah-zarah kering yang lain yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar berkumpul di ruangan udara yang telah menyebabkan penglihatan yang kurang jelas dan jarak penglihatan yang berkurangan. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi dan juga merupakan kesan sampingan akibat daripada perbuatan manusia. Partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok yang boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Hal ini telah menyebabkan jarak pandangan mata kasar berkurangan dan juga boleh menjadi satu ancaman kesihatan seperti menjejaskan sistem pernafasan.

            Sejak kebelakangan ini, jerebu menjadi satu masalah kepada Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Hal ini disebabkan oleh pembersihan hutan di Indonesia dan kaedah pembalakannya secara terbuka. Hal ini masih lagi menjadi satu masalah yang berterusan dan sedang dalam proses untuk menangani masalah ini.

            Jerebu yang disebabkan pembakaran hutan secara meluas ini boleh menjadi semakin serius dan berpanjangan. Pendedahan jangka panjang manusia kepada jerebu boleh menyebabkan berlakunya masalah kesihatan seperti masalah mata, tekak dan masalah sistem pernafasan. Hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan aktiviti harian manusia. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan mereka sekeluarga dan mengurangkan aktiviti yang berkaitan luar rumah. Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa memakai topeng yang sepatutnya apabila berada di luar rumah.

Indeks Pencemaran Udara (IPU)

            Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah merupakan satu cara untuk menilai kualiti udara di Malaysia. IPU dikira daripada beberapa set data berkenaan pencemaran udara. Skala di bawah menunjukkan klasifikasi yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:

IPU

Tahap Pencemaran Udara

0-50

Baik

51-100

Sederhana

101-200

Tidak Sihat

201-300

Sangat Tidak Sihat

301+

Merbahaya

Pengelasan tahap kualiti udara mengikut IPU dan langkah-langkah yang boleh di ambil semasa jerebu adalah seperti berikut :

            Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 merupakan status yang baik. Tahap pencemaran adalah rendah dan tidak membahayakan kesihatan umum. Antara langkah pencegahan dan kawalan kesihatan yang boleh diambil adalah tiada sebarang sekatan untuk menjalankan aktiviti luar untuk semua golongan. Hal ini membolehkan orang ramai melakukan aktiviti harian seperti biasa dan orang ramai dinasihatkan supaya mengamalakan cara hidup sihat.

            Pada bacaan IPU 51-100 merupakan status sederhana dan tahap pencemaran sederhana dan lazimnya tidak membahayakan kesihatan umum. Pada bacaan ini, tiada sebarang sekatan aktiviti untuk semua golongan dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan cara hidup sihat.

            Pada bacaan 101-200 merupakan status yang tidak sihat. Tahap pencemaran pada masa ini boleh menjejaskan kesihatan golongan yang berisiko tinggi. Oleh itu, golongan yang berisiko tinggi ini dinasihati supaya mengehadkan aktiviti luar rumah serta dinasihatkan memakai alat pelindung penafasan (mask) ketika berada di luar rumah. Pada masa ini, orang ramai dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti yang lasak di luar rumah bagi menjamin kesihatan mereka.

            Bacaan IPU 201-300 merupakan status udara yang sangat tidak sihat. Hal ini kerana, tahap pencemaran tinggi yang mana boleh menjejaskan kesihatan orang ramai dan boleh memburukkan lagi gejala penyakit yang dialami oleh mereka yang berisiko tinggi. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan daripada melakukan aktiviti lasak di luar rumah dan orang ramai dinasihatkan juga untuk sentiasa memakai alat pelindung pernafasan (mask) ketika berada di luar rumah. Bagi golongan yang berisiko tinggi, mereka digesa supaya berada di dalam rumah atau bangunan dan mengurangkan aktiviti fizikal dan sentiasa memakai alat pelindung pernafasan ketika berada di luar rumah. Selain itu, mereka yang mengalami masalah kesihatan dinasihatkan untuk berjumpa doktor. Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa memperbanyakan minum air dan sentiasa membasuh muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kepada jerebu.

            Bacaan IPU 300 dan keatas merupakan status merbahaya dan tahap pencemaran udara yang sangat tinggi dan membahayakan kesihatan. Oleh itu, semua golongan digesa untuk sentiasa berada di dalam rumah ataupun bangunan dan seboleh-bolehnya tiada langsung yang menjalankan aktiviti di luar rumah. Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih dan sentiasa memakai alat pelindung pernafasan ketika berada di luar rumah.


            Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi setiap arahan yang di keluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang masalah jerebu ini dan orang ramai juga perlulah sentiasa peka terhadap masalah jerebu ini agar kesihatan mereka sekeluarga lebih terjamin.

KES PENDERAAN KANAK-KANAK DI MALAYSIA

            Kes penderaan kanak-kanak ini buka lagi menjadi perkara yang baru di Malaysia, hal ini kerana semakin hari kes ini kedengaran semakin serius. Sejak kebelakangan ini, kes ini dikatakan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Menurut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak dari tahun 2010 iaitu sebanyak 3257 kes, 3428 kes pada tahun 2011 dan meningkat kepada 3831 kes pada tahun 2012 dan terus meningkat lagi kepada 4119 kes pada tahun 2013, manakala dari Januari hingga April 2014 sahaja sudah terdapat sebanyak 1430 kes.

            Kes yang terbaru iaitu seorang kanak-kanak perempuan Nur Zuliana Zaara binti Zulkifli berumur lima tahun dipercayai telah didera oleh ibu tirinya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan yang serius iaitu patah tulang belakang, rusuk, paha dan termasuklah dipenuhi kesan-kesan parut. Menurut hasil pemeriksaan kesihatan telah mendapati adik Zuliana mengalami beberapa kecacatan kekal seperti bongkok akibat masalah tulang belakang yang patah serta tempang kerana perbezaan panjang tulang paha kiri dan kanan. Hal ini berlaku kerana mangsa tidak pernah diberikan sebarang rawatan dan kecederaan ini dibiarkan sembuh dengan sendirinya sejak dia mula didera kira-kira eman bulan lalu.

            Mangsa juga didapati berada dalam keadaan trauma di samping mengalami masalah radang paru-paru sehingga menganggu sistem pernafasannya. Selain itu, adik Zuliana juga mengalami kekurangan zat yang kronik sehingga menyebabkan berat badannya susut hingga 15 kilogram iaitu menyamai berat seorang budak yang berusia tiga tahun.

            Sikap sesetengah manusia yang tidak berperikemanusiaan ini telah menyebabkan kanak-kanak yang tidak berdosa itu menjadi manga penderaan dan keganasan mereka. Kes penderaan kanak-kanak ini bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal semata-mata, tetapi ada penderaan yang lebih teruk seperti penderaan seksual dan mental sehingga ada yang diculik dan yang lebih kejam lagi kanak-kanak itu dibunuh tanpa ada sedikit pun rasa belas kasihan terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah itu.

            Kes penderaan kanak-kanak ini secara amnya boleh dikategorikan kepada empat jenis penderaan iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosi serta pengabaian. Penderaan jenis fizikal ini ialah penderaan yang menyebabkan kecederaan fizikal iaitu dari kecederaan ringan sehingga kecederaan teruk seperti patah atau kematian. Kecederaan ini disebabkan oleh tumbukan, tamparan, sepakan, gigitan, campakkan, tikaman, pukulan yang menggunakan tangan, kayu atau sebarang objek atau apa-apa yang boleh mencederakan kanak-kanak. Kecederaan ini dikenal pasti sebagai penderaan tidak kira sama ada penjaga berniat untuk mencederakan kanak-kanak ataupun tidak.

            Kes penderaan jenis seksual pula ialah sebarang aktiviti yang bermaksud untuk mendapatkan kepuasan dan memenuhi kehendak orang dewasa atau kanak-kanak remaja di mana mengikut  peringkat umur atau perkembangannya. Hal ini termasuklah mempengaruhi atau memaksa kanak-kanak dalam aktiviti seksual yang bertentangan undang-undang.

            Penderaan jenis emosi pula kebiasaannya sukar untuk dibuktikan dan penderaan ini biasanya dikenal pasti melalui perwatakan kanak-kanak itu seperti mempunyai tabiat suka mengenakan orang lain, selalu memperkecilkan dan memalukan rakan-rakanya serta sentiasa mengunakan pelbagai cara untuk memperkecilkan seseorang dan kes ini termasuklah kaki buli di sekolah.

            Penderaan jenis pengabaian pula sering berlaku apabila kanak-kanak kurang diberikan perhatian oleh orang dewasa ataupun ibu bapa mereka seperti tidak diberikan keperluan asas. Keperluan fizikal seperti kegagalan untuk menyediakan keperluan seperti makanan, tempat perlindungan serta kekurangan pengawasan yang teliti oleh orang dewasa. Selain itu, kegagalan untuk memberikan rawatan kesihatan dan kegagalan untuk memberikan pendidikan atau menawarkan perkhidmatan khas serta kekurangan perhatian terhadap keperluan emosi kanak-kanak.

            Kes penderaan kanak-kanak ini berpunca daripada pelbagai faktor dalaman dan luaran seperti tekanan perasaan, cengkaman hutang, penceraian ibu bapa serta tekanan hidup yang menghimpit kehidupan orang ramai selain kurangnya kasih sayang dalam institusi keluarga. Oleh itu, semua pihak perlulah sentiasa peka terhadap masalah penderaan kanak-kanak ini dan sentiasa memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk menbanteras masalah ini daripada terus berleluasa. Masyarakat tidak seharusnya bersifat mementingkan diri sendiri kerana dengan sikap ini akan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa penderaan ini.
             
             


Tuesday, October 20, 2015

KENCING TIKUS MERAGUT NYAWA





Apa itu penyakit kencing tikus ?

Penyakit kencing tikus atau nama saintifiknya Leptospirosis merupakan sejenis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut. Penyakit ini disebarkan melalui sejenis bakteria yang dikenali sebagai leptospira yang dibawa oleh haiwan. Pada mulanya, bakteria ini didapati disebarkan melalui seekor tikus. Namun sejak akhir-akhir ini, bakteria ini juga didapati boleh disebarkan melalui haiwan lain tidak kira sama ada haiwan liar atau peliharaan seperti anjing. Penyakit kencing tikus ini boleh meragut nyawa seseorang sekiranya tidak mendapatkan rawatan dengan kadar segera. Penyakit ini boleh dikategorikan sebagai pembunuh senyap kepada manusia kerana sukar dikesan di peringkat awal tetapi boleh meragut nyawa seseorang pada akhirnya.

Terkini, berita mengenai penyakit kencing tikus yang berlaku di Kedah apabila keseronokan lima sekeluarga pulang bercuti di kawasan peranginan air terjun di sebuah resort di Yan,Kedah bertukar menjadi tragedi selepas anak sulung mereka meninggal dunia akibat positif dijangkiti virus penyakit kencing tikus. Difahamkan mangsa sebelum ini mengalami deman panas dan dimasukkan ke hospital swasta sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar setelah keadaanya menjadi semakin serius.

Faktor berlakunya penyakit kencing tikus :

Sikap masyarakat yang memandang ringan terhadap penyakit ini telah menyebabkan penularan wabak ini menjadi semakin serius. Kebanyakan kawasan perumahan dan premis makanan tidak mengamalkan langkah kebersihan yang baik. Di premis makanan, kebersihan dapur yang tidak diurus dengan betul  dengan keadaan lantai yang kotor dan sisa makanan juga dibiarkan bersepah di merata tempat. Ada sesetengah penduduk kebiasaanya di pangsapuri yang sengaja membuang sampah berdekatan hadapan dengan rumah mereka dengan alasan tempat pembuangan sampah jauh daripada rumah mereka. Selain itu, ada juga penduduk yang membuang sampah di merata tempat dan hal ini di tambah pula dengan masalah sistem kutipan sampah yang tidak sistematik telah mengundang pembiakan tikus yang membawa virus merbahaya ini.

Selain itu, menurut laporan media, kawasan air terjun juga berpotensi menjadi tempat pembiakan bakteria leptospira ini. Kawasan air terjun yang berbatu dan mempunyai takungan air menyebabkan bakteria ini mudah tersebar. Antara air terjun yang dilaporkan menyebarkan bakteria leptospira ini ialah Air Terjun Lata Bayu Baling,Kedah dan Air Terjun Botani Pulau Pinang.


Faktor yang berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit kencing tikus :

1. Penyakit ini boleh dijangkiti menerusi makanan dan minuman yang tercemar termasuk minuman tin yang tidak dibasuh dengan sempurna.

2. Pekerjaan yang terdedah kepada panas seperti petani, pekerjaan penyembelihan haiwan, pemotong kayu dan pekerja sistem pembentungan antara golongan yang terdedah kepada penyakit ini.

3. Aktiviti rekreasi yang melibatkan air yang bertakung seperti tasik, denai seperti aktiviti berenang, berkayak, berkelah dan sebagainya.

4.  Seseorang yang terdedah kepada kawasan yang banjir yang mana air kencing tikus tercemar di dalamnya, apabila air yang tercemar ini terkena pada luka di badan, masuk ke dalam mata,hidung atau terminum air yang tercemar dengan bakteria ini menyebabkan kita akan dijangkiti virus ini.

Tanda-tanda seseorang yang dijangkiti wabak kencing tikus :

Menurut maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, antara tanda seseorang yang dijangkiti wabak kencing tikus ini ialah mangsa akan mengalami demam panas dan badan akan mengigil, sakit anggota tubuh dan mengalami sakit kepala. Selain itu, pesakit juga boleh mengalami batuk yang tidak berkahak, berasa loya dan menyebabkan muntah-muntah dan cirit birit.

Pesakit juga akan merasai sakit di bahagian tubuh iaitu berasa sakit di bahagian sendi-sendi, sakit tulang, sakit tekak dan sakit perut serta mengalami radang selaput mata. Pesakit juga berkemungkinan mengalami sakit di bahagian otot-otot menyebabkan berlaku kekerasan otot dan antara tanda yang serius seseorang itu dijangkiti penyakit kencing tikus ini ialah boleh menyebabkan pesakit mengalami pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar dan mengalami perubahan bunyi pada paru-paru.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia lagi, penyakit ini boleh dirawat dengan mendapatkan antibiotik yang telah ditetapkan oleh kementerian kesihatan di klinik atau hospital yang berhampiran. Penyakit kencing tikus ini boleh dirawat sekiranya pesakit yang mengalami gejala penyakit ini mendapatkan rawatan dengan kadar yang segera. Hal ini boleh mengelakkan seseorang daripada mengalami komplikasi yang lebih teruk sehingga boleh membawa maut.

Oleh itu, semua masyarakat Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghindari diri daripada dijangkiti penyakit kencing tikus ini. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan sentiasa menjaga kebersihan sekeliling anda dengan menyediakan tempat pembuangan sampah yang tertutup, sentiasa bersihkan tempat bekas air dan kolam renang dan yang paling penting sentiasa pastikan tiada tikus di kawasan sekeliling terutama kawasan kediaman rumah anda. Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang melibatkan kawasan air yang bertakung.

Selain itu, anda juga haruslah menyimpan makanan atau minuman dengan baik agar tidak dicemari dan pastikan anda sentiasa mencuci tangan dengan sebaik mugkin sebelum menjamah makan. Anda juga haruslah membersihkan diri selepas melakukan aktiviti di luar rumah seperti berkebun dan lain lagi.

Kesimpulannya, wabak kencing tikus ini tidak sepatutnya dipandang remeh oleh masyarakat kerana ianya boleh meragut nyawa seseorang. Oleh itu, semua masyarakat haruslah memainkan peranan masing-masing dalam menghindari diri daripada dijangkiti penyakit kencing tikus yang merbahaya ini.



Wednesday, October 7, 2015

MASALAH PEMBUANGAN BAYI DI MALAYSIA


       
      









          Malaysia kini merupakan sebuah negara yang semakin berkembang maju dari segi ekonomi, politik, teknologi dan tidak kurang hebat juga dari segi sosialnya. Hal ini telah menyebabkan berlakunya perubahan corak hidup masyarakat sekarang terutamanya golongan anak muda. Terlalu banyak kebebasan yang diberikan telah menyebabkan timbul pelbagai masalah sosial dalam kalangan remaja. Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat Malaysia kini dihantui oleh satu penyakit sosial yang semakin hari semakin membimbangkan dan sentiasa menjadi buah mulut masyarakat iaitu masalah pembuangan bayi. Boleh dikata hampir setiap hari berita mengenai masalah ini dipaparkan di dada-dada akhbar, majalah dan media massa. Tindakan manusia yang tidak berperikemanusiaan hingga tergamak memperlakukan bayi yang tidak berdosa sedemikian rupa itu telah menimbulkan pelbagai tanda tanya. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan masalah ini semakin berleluasa ? dan apakah langkah yang sepatutnya diambil bagi membendung masalah ini ? 


                   



 Antara punca yang menyebabkan kes pembuangan bayi semakin berleluasa adalah kerana kurangnya didikan nilai agama dan moral dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana, kebanyakan remaja sekarang lebih mementingkan keserononkan menyebabkan mereka kurang berminat untuk mendalami ilmu agama. Hal ini telah menyebabkan nilai patuh kepada ajaran agama kurang atau mungkin tiada dalam diri remaja. Kekurangan didikan agama yang merupakan sebagai satu panduan dan pendoman hidup seseorang telah menyebabkan mereka leka dan mudah terjebak dengan gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas. Kebiasaannya, remaja yang terjebak dengan pergaulan bebas ini berisiko tinggi untuk menjalinkan hubungan yang tidak sah atau lebih dikenali sebagai zina atau seks luar nikah menurut hukun agama. Kesan daripada itu, perempuan itu akan mengandungkan anak yang tidak sah tarafnya dan bagi menutup aib itu, mereka yang lemah pegangan agama ini tidak akan berfikir panjang dengan mengambil keputusan untuk membuang bayi mereka dan yang lebih parah lagi ada yang sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa itu. Hal ini berlaku dek kerana tiadanya sifat rasa tanggungjawab dalam diri mereka. Jelaslah, mereka yang tidak mengenal erti dosa dan pahala ini yang telah menyebabkan mereka tidak merasa takut untuk melalukan perbuatan yang tidak bermoral ini.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berlakunya kes pembuangan bayi ini. Seperti yang kita semua ketahui, remaja merupakan sebuah golongan yang mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu yang baharu. Hal ini telah mendorong remaja untuk mencuba sesuatu yang baharu itu yang dianggap sebagai keseronokan bagi mereka. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi, apabila seseorang itu menganjak ke dalam remajanya mereka secara tidak langsung akan memperoleh rakan-rakan baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza. Dalam situasi sebeginilah pengaruh rakan sebaya sangat memainkan peranan kerana tiadanya pengawasan daripada ibu bapa dan ahli keluarga terdekat. Hal ini menjadi semakin parah apabila remaja tersilap memilih rakan yang berperangai negatif. Hal ini menyebabkan remaja akan  mudah terikut dengan ajakan-ajakan negatif rakan-rakan mereka seperti pergi ke tempat-tempat hiburan dan melakukan pergaulan bebas sehingga melampaui batasan agama seperti melakukan maksiat, penzinaan dan seterusnya menyebabkan kehamilan anak luar nikah sehingga berlakunya pembuangan bayi. Jelaslah, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu punca terjadinya masalah pembuangan bayi ini kerana rakan sebaya merupakan orang kedua yang berpengaruh kepada golongan remaja selain daripada ahli keluarganya.

Terdapat pelbagai langkah yang efisien yang boleh diambil bagi menangani masalah pembuangan bayi ini daripada terus berleluasa. Antaranya adalah dengan penerapan nilai ilmu agama dan pendidikan moral yang secukupnya dalam diri remaja sejak kecil lagi. Hal ini demikian kerana,melentur buluh biarlah dari rebungnya. Penerapan nilai agama dan moral yang secukupnya dalam diri remaja dapat menghalang mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral itu kerana mereka dapat membezakan sesuatu perbuatan itu sama ada baik atau buruk bagi mereka. Selain itu, pendidikan agama dan moral juga dapat menyedarkan golongan remaja tentang adanya dosa dan pahala. Hal ini akan menyebabkan mereka merasa takut untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama dan hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan golongan remaja daripada melibatkan diri dengan gejala yang negatif ini. Jelaslah, nilai patuh kepada ajaran agama dan moral ini dapat menangani masalah pembuangan bayi ini kerana setiap agama menuntut penganutnya untuk sentiasa melakukan perbuatan yang baik dan menjauhi segala yang buruk.

Selain itu, ibu bapa juga turut memainkan peranan penting dalam menangani masalah pembuangan bayi dalam golongan remaja ini. Hal ini demikian kerana, ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah menunjukkan suri teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Umumnya, anak-anak di ibaratkan kain putih dan ibu bapa lah yang bertanggungjawab mencorakkanya. Ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak bagi mendidik mereka supaya menjadi insan yang patuh terhadap ajaran agamanya dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala-gejala yang negatif. Selain itu, ibu bapa juga haruslah memberi kasih saying yang secukupnya kepada anak-anak dengan memberikan sepenuh perhatian kepada anak-anak. Ibu bapa juga perlulah mengawasi setiap pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini. Oleh itu, masalah pembuangan bayi ini akan dapat diatasi sekiranya ibu bapa memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mugkin.

Pihak kerajaan dan media massa juga turut bertanggungjawab dalam mengangani masalah pembuangan bayi ini. Pihak berkuasa haruslah memperketatkan lagi undang-undang yang sedia ada supaya pembuat yang tidak bertanggungjawab ini dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka itu. Contohnya, kes pembuangan bayi ini disiasat sebagai kes bunuh ataupun percubaan membunuh. Hukuman gantung sampai mati akan dikenakan kepada pesalah yang disiasat sebagai kes bunuh, manakala kes percubaan membunuh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun. Dengan adanya undang-undang yang sedemikian, golongan remaja akan merasa takut dan berfikir berkali-kali untuk melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini. Selain itu, pihak media massa dan media cetak juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam menangani masalah dengan mengadakan program-program motivasi dan kempen-kempen kesedaran agar masyarakat sekeliling lebih sensitif terhadap isu pembuangan bayi ini dan bersama-sama memainkan peranan dalam menangani masalah ini.

Kesimpulanya,masalah pembuangan bayi ini tidak seharusnya dipandang ringan oleh semua lapisan masyarakat. Hal ini demikian kerana, masalah ini secara tidak langsung telah menjatuhkan imej masyarakat Malaysia yang selama ini terkenal dengan pegangan agama dan budayanya. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dengan memberikan sepenuh komitmen dalam menangani masalah pembuangan bayi ini agar masalah ini dapat diatasi dengan jayanya. Masyarakat Malaysia tidak seharusnya bersikap mementingkan diri sediri tetapi sebaliknya sentiasa bekerjasama mengembleng tenaga dalam menangani masalah ini agar pembangunan Malaysia ke arah Negara yang maju dapat dilaksanakan dengan sempurna dan lebih terjamin pada masa akan datang. Sekian.