Tuesday, October 20, 2015

KENCING TIKUS MERAGUT NYAWA





Apa itu penyakit kencing tikus ?

Penyakit kencing tikus atau nama saintifiknya Leptospirosis merupakan sejenis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut. Penyakit ini disebarkan melalui sejenis bakteria yang dikenali sebagai leptospira yang dibawa oleh haiwan. Pada mulanya, bakteria ini didapati disebarkan melalui seekor tikus. Namun sejak akhir-akhir ini, bakteria ini juga didapati boleh disebarkan melalui haiwan lain tidak kira sama ada haiwan liar atau peliharaan seperti anjing. Penyakit kencing tikus ini boleh meragut nyawa seseorang sekiranya tidak mendapatkan rawatan dengan kadar segera. Penyakit ini boleh dikategorikan sebagai pembunuh senyap kepada manusia kerana sukar dikesan di peringkat awal tetapi boleh meragut nyawa seseorang pada akhirnya.

Terkini, berita mengenai penyakit kencing tikus yang berlaku di Kedah apabila keseronokan lima sekeluarga pulang bercuti di kawasan peranginan air terjun di sebuah resort di Yan,Kedah bertukar menjadi tragedi selepas anak sulung mereka meninggal dunia akibat positif dijangkiti virus penyakit kencing tikus. Difahamkan mangsa sebelum ini mengalami deman panas dan dimasukkan ke hospital swasta sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar setelah keadaanya menjadi semakin serius.

Faktor berlakunya penyakit kencing tikus :

Sikap masyarakat yang memandang ringan terhadap penyakit ini telah menyebabkan penularan wabak ini menjadi semakin serius. Kebanyakan kawasan perumahan dan premis makanan tidak mengamalkan langkah kebersihan yang baik. Di premis makanan, kebersihan dapur yang tidak diurus dengan betul  dengan keadaan lantai yang kotor dan sisa makanan juga dibiarkan bersepah di merata tempat. Ada sesetengah penduduk kebiasaanya di pangsapuri yang sengaja membuang sampah berdekatan hadapan dengan rumah mereka dengan alasan tempat pembuangan sampah jauh daripada rumah mereka. Selain itu, ada juga penduduk yang membuang sampah di merata tempat dan hal ini di tambah pula dengan masalah sistem kutipan sampah yang tidak sistematik telah mengundang pembiakan tikus yang membawa virus merbahaya ini.

Selain itu, menurut laporan media, kawasan air terjun juga berpotensi menjadi tempat pembiakan bakteria leptospira ini. Kawasan air terjun yang berbatu dan mempunyai takungan air menyebabkan bakteria ini mudah tersebar. Antara air terjun yang dilaporkan menyebarkan bakteria leptospira ini ialah Air Terjun Lata Bayu Baling,Kedah dan Air Terjun Botani Pulau Pinang.


Faktor yang berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit kencing tikus :

1. Penyakit ini boleh dijangkiti menerusi makanan dan minuman yang tercemar termasuk minuman tin yang tidak dibasuh dengan sempurna.

2. Pekerjaan yang terdedah kepada panas seperti petani, pekerjaan penyembelihan haiwan, pemotong kayu dan pekerja sistem pembentungan antara golongan yang terdedah kepada penyakit ini.

3. Aktiviti rekreasi yang melibatkan air yang bertakung seperti tasik, denai seperti aktiviti berenang, berkayak, berkelah dan sebagainya.

4.  Seseorang yang terdedah kepada kawasan yang banjir yang mana air kencing tikus tercemar di dalamnya, apabila air yang tercemar ini terkena pada luka di badan, masuk ke dalam mata,hidung atau terminum air yang tercemar dengan bakteria ini menyebabkan kita akan dijangkiti virus ini.

Tanda-tanda seseorang yang dijangkiti wabak kencing tikus :

Menurut maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, antara tanda seseorang yang dijangkiti wabak kencing tikus ini ialah mangsa akan mengalami demam panas dan badan akan mengigil, sakit anggota tubuh dan mengalami sakit kepala. Selain itu, pesakit juga boleh mengalami batuk yang tidak berkahak, berasa loya dan menyebabkan muntah-muntah dan cirit birit.

Pesakit juga akan merasai sakit di bahagian tubuh iaitu berasa sakit di bahagian sendi-sendi, sakit tulang, sakit tekak dan sakit perut serta mengalami radang selaput mata. Pesakit juga berkemungkinan mengalami sakit di bahagian otot-otot menyebabkan berlaku kekerasan otot dan antara tanda yang serius seseorang itu dijangkiti penyakit kencing tikus ini ialah boleh menyebabkan pesakit mengalami pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar dan mengalami perubahan bunyi pada paru-paru.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia lagi, penyakit ini boleh dirawat dengan mendapatkan antibiotik yang telah ditetapkan oleh kementerian kesihatan di klinik atau hospital yang berhampiran. Penyakit kencing tikus ini boleh dirawat sekiranya pesakit yang mengalami gejala penyakit ini mendapatkan rawatan dengan kadar yang segera. Hal ini boleh mengelakkan seseorang daripada mengalami komplikasi yang lebih teruk sehingga boleh membawa maut.

Oleh itu, semua masyarakat Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghindari diri daripada dijangkiti penyakit kencing tikus ini. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan sentiasa menjaga kebersihan sekeliling anda dengan menyediakan tempat pembuangan sampah yang tertutup, sentiasa bersihkan tempat bekas air dan kolam renang dan yang paling penting sentiasa pastikan tiada tikus di kawasan sekeliling terutama kawasan kediaman rumah anda. Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang melibatkan kawasan air yang bertakung.

Selain itu, anda juga haruslah menyimpan makanan atau minuman dengan baik agar tidak dicemari dan pastikan anda sentiasa mencuci tangan dengan sebaik mugkin sebelum menjamah makan. Anda juga haruslah membersihkan diri selepas melakukan aktiviti di luar rumah seperti berkebun dan lain lagi.

Kesimpulannya, wabak kencing tikus ini tidak sepatutnya dipandang remeh oleh masyarakat kerana ianya boleh meragut nyawa seseorang. Oleh itu, semua masyarakat haruslah memainkan peranan masing-masing dalam menghindari diri daripada dijangkiti penyakit kencing tikus yang merbahaya ini.



No comments:

Post a Comment