Wednesday, October 7, 2015

MASALAH PEMBUANGAN BAYI DI MALAYSIA


       
      









          Malaysia kini merupakan sebuah negara yang semakin berkembang maju dari segi ekonomi, politik, teknologi dan tidak kurang hebat juga dari segi sosialnya. Hal ini telah menyebabkan berlakunya perubahan corak hidup masyarakat sekarang terutamanya golongan anak muda. Terlalu banyak kebebasan yang diberikan telah menyebabkan timbul pelbagai masalah sosial dalam kalangan remaja. Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat Malaysia kini dihantui oleh satu penyakit sosial yang semakin hari semakin membimbangkan dan sentiasa menjadi buah mulut masyarakat iaitu masalah pembuangan bayi. Boleh dikata hampir setiap hari berita mengenai masalah ini dipaparkan di dada-dada akhbar, majalah dan media massa. Tindakan manusia yang tidak berperikemanusiaan hingga tergamak memperlakukan bayi yang tidak berdosa sedemikian rupa itu telah menimbulkan pelbagai tanda tanya. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan masalah ini semakin berleluasa ? dan apakah langkah yang sepatutnya diambil bagi membendung masalah ini ? 


                   



 Antara punca yang menyebabkan kes pembuangan bayi semakin berleluasa adalah kerana kurangnya didikan nilai agama dan moral dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana, kebanyakan remaja sekarang lebih mementingkan keserononkan menyebabkan mereka kurang berminat untuk mendalami ilmu agama. Hal ini telah menyebabkan nilai patuh kepada ajaran agama kurang atau mungkin tiada dalam diri remaja. Kekurangan didikan agama yang merupakan sebagai satu panduan dan pendoman hidup seseorang telah menyebabkan mereka leka dan mudah terjebak dengan gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas. Kebiasaannya, remaja yang terjebak dengan pergaulan bebas ini berisiko tinggi untuk menjalinkan hubungan yang tidak sah atau lebih dikenali sebagai zina atau seks luar nikah menurut hukun agama. Kesan daripada itu, perempuan itu akan mengandungkan anak yang tidak sah tarafnya dan bagi menutup aib itu, mereka yang lemah pegangan agama ini tidak akan berfikir panjang dengan mengambil keputusan untuk membuang bayi mereka dan yang lebih parah lagi ada yang sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa itu. Hal ini berlaku dek kerana tiadanya sifat rasa tanggungjawab dalam diri mereka. Jelaslah, mereka yang tidak mengenal erti dosa dan pahala ini yang telah menyebabkan mereka tidak merasa takut untuk melalukan perbuatan yang tidak bermoral ini.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berlakunya kes pembuangan bayi ini. Seperti yang kita semua ketahui, remaja merupakan sebuah golongan yang mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu yang baharu. Hal ini telah mendorong remaja untuk mencuba sesuatu yang baharu itu yang dianggap sebagai keseronokan bagi mereka. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi, apabila seseorang itu menganjak ke dalam remajanya mereka secara tidak langsung akan memperoleh rakan-rakan baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza. Dalam situasi sebeginilah pengaruh rakan sebaya sangat memainkan peranan kerana tiadanya pengawasan daripada ibu bapa dan ahli keluarga terdekat. Hal ini menjadi semakin parah apabila remaja tersilap memilih rakan yang berperangai negatif. Hal ini menyebabkan remaja akan  mudah terikut dengan ajakan-ajakan negatif rakan-rakan mereka seperti pergi ke tempat-tempat hiburan dan melakukan pergaulan bebas sehingga melampaui batasan agama seperti melakukan maksiat, penzinaan dan seterusnya menyebabkan kehamilan anak luar nikah sehingga berlakunya pembuangan bayi. Jelaslah, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu punca terjadinya masalah pembuangan bayi ini kerana rakan sebaya merupakan orang kedua yang berpengaruh kepada golongan remaja selain daripada ahli keluarganya.

Terdapat pelbagai langkah yang efisien yang boleh diambil bagi menangani masalah pembuangan bayi ini daripada terus berleluasa. Antaranya adalah dengan penerapan nilai ilmu agama dan pendidikan moral yang secukupnya dalam diri remaja sejak kecil lagi. Hal ini demikian kerana,melentur buluh biarlah dari rebungnya. Penerapan nilai agama dan moral yang secukupnya dalam diri remaja dapat menghalang mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral itu kerana mereka dapat membezakan sesuatu perbuatan itu sama ada baik atau buruk bagi mereka. Selain itu, pendidikan agama dan moral juga dapat menyedarkan golongan remaja tentang adanya dosa dan pahala. Hal ini akan menyebabkan mereka merasa takut untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama dan hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan golongan remaja daripada melibatkan diri dengan gejala yang negatif ini. Jelaslah, nilai patuh kepada ajaran agama dan moral ini dapat menangani masalah pembuangan bayi ini kerana setiap agama menuntut penganutnya untuk sentiasa melakukan perbuatan yang baik dan menjauhi segala yang buruk.

Selain itu, ibu bapa juga turut memainkan peranan penting dalam menangani masalah pembuangan bayi dalam golongan remaja ini. Hal ini demikian kerana, ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah menunjukkan suri teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Umumnya, anak-anak di ibaratkan kain putih dan ibu bapa lah yang bertanggungjawab mencorakkanya. Ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak bagi mendidik mereka supaya menjadi insan yang patuh terhadap ajaran agamanya dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala-gejala yang negatif. Selain itu, ibu bapa juga haruslah memberi kasih saying yang secukupnya kepada anak-anak dengan memberikan sepenuh perhatian kepada anak-anak. Ibu bapa juga perlulah mengawasi setiap pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini. Oleh itu, masalah pembuangan bayi ini akan dapat diatasi sekiranya ibu bapa memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mugkin.

Pihak kerajaan dan media massa juga turut bertanggungjawab dalam mengangani masalah pembuangan bayi ini. Pihak berkuasa haruslah memperketatkan lagi undang-undang yang sedia ada supaya pembuat yang tidak bertanggungjawab ini dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka itu. Contohnya, kes pembuangan bayi ini disiasat sebagai kes bunuh ataupun percubaan membunuh. Hukuman gantung sampai mati akan dikenakan kepada pesalah yang disiasat sebagai kes bunuh, manakala kes percubaan membunuh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun. Dengan adanya undang-undang yang sedemikian, golongan remaja akan merasa takut dan berfikir berkali-kali untuk melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini. Selain itu, pihak media massa dan media cetak juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam menangani masalah dengan mengadakan program-program motivasi dan kempen-kempen kesedaran agar masyarakat sekeliling lebih sensitif terhadap isu pembuangan bayi ini dan bersama-sama memainkan peranan dalam menangani masalah ini.

Kesimpulanya,masalah pembuangan bayi ini tidak seharusnya dipandang ringan oleh semua lapisan masyarakat. Hal ini demikian kerana, masalah ini secara tidak langsung telah menjatuhkan imej masyarakat Malaysia yang selama ini terkenal dengan pegangan agama dan budayanya. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dengan memberikan sepenuh komitmen dalam menangani masalah pembuangan bayi ini agar masalah ini dapat diatasi dengan jayanya. Masyarakat Malaysia tidak seharusnya bersikap mementingkan diri sediri tetapi sebaliknya sentiasa bekerjasama mengembleng tenaga dalam menangani masalah ini agar pembangunan Malaysia ke arah Negara yang maju dapat dilaksanakan dengan sempurna dan lebih terjamin pada masa akan datang. Sekian.
   

   
       
                                                                                                     

No comments:

Post a Comment