Apa
itu penyakit kencing tikus ?
Penyakit kencing tikus
atau nama saintifiknya Leptospirosis merupakan
sejenis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut. Penyakit ini disebarkan
melalui sejenis bakteria yang dikenali sebagai leptospira yang dibawa oleh haiwan. Pada mulanya, bakteria ini
didapati disebarkan melalui seekor tikus. Namun sejak akhir-akhir ini, bakteria
ini juga didapati boleh disebarkan melalui haiwan lain tidak kira sama ada
haiwan liar atau peliharaan seperti anjing. Penyakit kencing tikus ini boleh
meragut nyawa seseorang sekiranya tidak mendapatkan rawatan dengan kadar
segera. Penyakit ini boleh dikategorikan sebagai pembunuh senyap kepada manusia
kerana sukar dikesan di peringkat awal tetapi boleh meragut nyawa seseorang
pada akhirnya.
Terkini, berita
mengenai penyakit kencing tikus yang berlaku di Kedah apabila keseronokan lima
sekeluarga pulang bercuti di kawasan peranginan air terjun di sebuah resort di
Yan,Kedah bertukar menjadi tragedi selepas anak sulung mereka meninggal dunia
akibat positif dijangkiti virus penyakit kencing tikus. Difahamkan mangsa
sebelum ini mengalami deman panas dan dimasukkan ke hospital swasta sebelum
dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar setelah keadaanya menjadi
semakin serius.
Faktor
berlakunya penyakit kencing tikus :
Sikap masyarakat yang
memandang ringan terhadap penyakit ini telah menyebabkan penularan wabak ini
menjadi semakin serius. Kebanyakan kawasan perumahan dan premis makanan tidak
mengamalkan langkah kebersihan yang baik. Di premis makanan, kebersihan dapur
yang tidak diurus dengan betul dengan
keadaan lantai yang kotor dan sisa makanan juga dibiarkan bersepah di merata tempat.
Ada sesetengah penduduk kebiasaanya di pangsapuri yang sengaja membuang sampah
berdekatan hadapan dengan rumah mereka dengan alasan tempat pembuangan sampah
jauh daripada rumah mereka. Selain itu, ada juga penduduk yang membuang sampah
di merata tempat dan hal ini di tambah pula dengan masalah sistem kutipan
sampah yang tidak sistematik telah mengundang pembiakan tikus yang membawa
virus merbahaya ini.
Selain itu, menurut
laporan media, kawasan air terjun juga berpotensi menjadi tempat pembiakan
bakteria leptospira ini. Kawasan air
terjun yang berbatu dan mempunyai takungan air menyebabkan bakteria ini mudah
tersebar. Antara air terjun yang dilaporkan menyebarkan bakteria leptospira ini ialah Air Terjun Lata
Bayu Baling,Kedah dan Air Terjun Botani Pulau Pinang.
Faktor
yang berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit kencing tikus :
1. Penyakit ini boleh dijangkiti menerusi
makanan dan minuman yang tercemar termasuk minuman tin yang tidak dibasuh
dengan sempurna.
2. Pekerjaan yang terdedah kepada panas
seperti petani, pekerjaan penyembelihan haiwan, pemotong kayu dan pekerja
sistem pembentungan antara golongan yang terdedah kepada penyakit ini.
3. Aktiviti rekreasi yang melibatkan air
yang bertakung seperti tasik, denai seperti aktiviti berenang, berkayak,
berkelah dan sebagainya.
4. Seseorang yang terdedah kepada kawasan yang banjir yang
mana air kencing tikus tercemar di dalamnya, apabila air yang tercemar ini
terkena pada luka di badan, masuk ke dalam mata,hidung atau terminum air yang
tercemar dengan bakteria ini menyebabkan kita akan dijangkiti virus ini.
Tanda-tanda
seseorang yang dijangkiti wabak kencing tikus :
Menurut maklumat
daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, antara tanda seseorang yang dijangkiti
wabak kencing tikus ini ialah mangsa akan mengalami demam panas dan badan akan
mengigil, sakit anggota tubuh dan mengalami sakit kepala. Selain itu, pesakit
juga boleh mengalami batuk yang tidak berkahak, berasa loya dan menyebabkan muntah-muntah
dan cirit birit.
Pesakit juga akan
merasai sakit di bahagian tubuh iaitu berasa sakit di bahagian sendi-sendi,
sakit tulang, sakit tekak dan sakit perut serta mengalami radang selaput mata.
Pesakit juga berkemungkinan mengalami sakit di bahagian otot-otot menyebabkan
berlaku kekerasan otot dan antara tanda yang serius seseorang itu dijangkiti
penyakit kencing tikus ini ialah boleh menyebabkan pesakit mengalami pembesaran
limpa atau hati, bengkak salur kelenjar dan mengalami perubahan bunyi pada
paru-paru.
Menurut Kementerian
Kesihatan Malaysia lagi, penyakit ini boleh dirawat dengan mendapatkan
antibiotik yang telah ditetapkan oleh kementerian kesihatan di klinik atau
hospital yang berhampiran. Penyakit kencing tikus ini boleh dirawat sekiranya
pesakit yang mengalami gejala penyakit ini mendapatkan rawatan dengan kadar
yang segera. Hal ini boleh mengelakkan seseorang daripada mengalami komplikasi
yang lebih teruk sehingga boleh membawa maut.
Oleh itu, semua
masyarakat Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi
menghindari diri daripada dijangkiti penyakit kencing tikus ini. Antara
langkah yang boleh diambil adalah dengan sentiasa menjaga kebersihan sekeliling
anda dengan menyediakan tempat pembuangan sampah yang tertutup, sentiasa
bersihkan tempat bekas air dan kolam renang dan yang paling penting sentiasa
pastikan tiada tikus di kawasan sekeliling terutama kawasan kediaman rumah
anda. Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengelakkan diri
daripada melakukan aktiviti yang melibatkan kawasan air yang bertakung.
Selain itu, anda juga
haruslah menyimpan makanan atau minuman dengan baik agar tidak dicemari dan
pastikan anda sentiasa mencuci tangan dengan sebaik mugkin sebelum menjamah
makan. Anda juga haruslah membersihkan diri selepas melakukan aktiviti di luar
rumah seperti berkebun dan lain lagi.
Kesimpulannya, wabak
kencing tikus ini tidak sepatutnya dipandang remeh oleh masyarakat kerana ianya
boleh meragut nyawa seseorang. Oleh itu, semua masyarakat haruslah memainkan
peranan masing-masing dalam menghindari diri daripada dijangkiti penyakit
kencing tikus yang merbahaya ini.